Monday, 18 November 2013

LUASKAN SKOP

Saya bina blog ini sebab merasakan perlu mengetengahkan kaedah penulisan kufi segi empat yang betul berdasarkan kajian ke atas karya-karya silam dan baharu. Peranan kufi  dalam penulisan al quran banyak disalah tafsir sebagai merujuk kepada kufi segi 4. Itu tidak benar kerana kufi segi 4 hanya bermula di Iran setelah kewafatan Baginda Rasul iaitu mungkin seawal tahun 700H. Sebelum itu , kufi yang digunakan adalah kufi mushaf dan beberapa kufi lain tetapi tidak kufi segi 4. Penemuan2 artifak  seawal 700H pada medium batuan tidak menemukan kufi segi 4


Apa yang banyak diketemukan adalah dari kumpulan kufi Mushaf dan Fatimi . Manakala khat2 lain berkembang sejajar dengan perkembangan kertas dalam bidang penulisan (papyrus). Khat Tuluth , nasakh dan riqaah kemudiannya mengatasi penggunaan khat kufi menjadikan kufi kekal kepada kedudukan sebagai monumental art. Khat2 lain juga mempunyai pakar2 yang dirujuk oleh generasi terkemudian, tetapi tidak pada kufi segi 4. Ini menjadikan kufi segi 4 selalu terkeluar dari prinsip2nya .

Antara prinsip-prinsip asas kufi segi 4 sejak turun temurun adalah :

1. Skrip kufi segi 4 - huruf2 dalam kufi segi 4 adalah bersegi, berbeza dengan kufi fatimi yang berbunga2, berbeza dengan kufi mushaf yang yang bulat pada 'kepala' huruf, dan amat berbeza dengan khat2 lain

2.Cara penulisan adalah mengikut kaedah tulisan arab iaitu dari kanan ke kiri dan sekiranya dipersembahkan dalam bentuk2 tertentu ianya bermula pada titik mula samada di penjuru kanan bawah atau di penjuru kanan atas

3.Aliran tulisan adalah mengikut reka bentuk , namun begitu prinsip asasnya adalah dari titik mula dan menular dalam satu aliran mengikut reka bentuk tanpa terputus aliran.

4.Setiap sisi rekabentuk adalah diwakili oleh huruf

5.kufi ditulis dalam sistem hitam-putih atau dikenali sbg positif negatif dan diukur dalam skel kotak. Bilangan kotak putih iaitu kotak bukan huruf tidak boleh melebihi 2 bilangan kotak.

6.Kufi2 silam adalah tidak bertitik, tetapi selepas resam uthmani digunakan, kedapatan karya-karya yang memasukkan titik.Namun begitu penggunaan titik ini tidak begitu dititik berat kan. Penulisan kufi di zaman moden terutama bagi negara bukan Arab seperti Malaysia, penggunaan titik adalah dititik beratkan.

7.Kaedah penyambungan huruf kufi adalah sama seperti kaedah tulisan arab yang lain spt. tuluth, nasakh dll, dengan penyesuaian berdasarkan skrip kufi.

Sering berlaku perlanggaran hukum oleh pengkarya dalam memenuhi satu2 prinsip. Contohnya ada yang mengubah bentuk huruf bagi mengisi ruang putih dll. Pengkaji kufi menamakan perlanggaran hukum ini sebagai 'dibuat secara cuai'

Memanglah sukar untuk mendapat satu kufi yang memenuhi 100% prinsip asasnya  tanpa mengorbankan prinsip yang lain, terutama bagi ayat2 yang panjang,  namun ianya boleh dibuat. Dalam banyak kes kufi silam, perlanggaran prinsip ke atas sifat huruf masih boleh ditafsir tetapi perlanggaran hukum aliran adalah bahaya kerana boleh memesongkan bacaan.

Begitu juga perlanggaran hukum titik mula, masih boleh ditafsir. Malah sesetengah pengkaji menamakan ia sebagai The Artis's Secret- membuatkan kita tercari2 di mana titik mulanya.

Contoh kufi yang terdapat di dalam Kaabah. Titik mula sepatutnya pada Lam Alif tetapi kedudukan Lam Alif telah diletakkan pada penjuru kiri-bawah. Apa sebab dibuat sebegitu adalah satu rahsia yang menarik untuk dikaji kerana ia berlaku di dalam Kabah yang mulia. 

Ada pembaca yang meminta saya deletkan entri berikut:
hanya disebabkan kedudukan titik mula itu yang kononnya menjejaskan akidah. Bagi saya sebagai pengkaji dan penggiat kufi, saya ambil pada dasar 'sebagaimana sedia ada' untuk dikaji. Sementelah ayat ini adalah syahadah ,satu ayat lazim di mana tidak ada orang yang bersyahadah bermula dengan Muhammad . Lagipun aliran Muhammad itu mengarah ke dalam yang secara otomatis kita akan faham ianya bukan titik mula, Keadaan sebaliknya mungkin berlaku kepada ayat2 yang tidak biasa dibaca.

Begitu juga isu penggunaan Hamzah. Bagi tulisan jawi dan arab, fungsi hamzahnya berbeza, begitu juga kedudukannya dalam penulisan. Sengaja saya melambatkan entri2 baru bagi memberi ruang untuk  khalayak yang berminat dengan hasil penemuan dari kajian saya faham tentang isu yang diutarakan. isu hamzah dan isu titik adalah isu penting yang nampaknya diambil mudah oleh pengkarya baru.

Isu hamzah pernah saya ulas dalam blog pertama saya di sini 

Manakala untuk isu titik izinkan saya berkongsi karya yang baru dipertandingkan di Pesta Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF), iaitu :
Dalam kedua2 karya ini, titik huruf telah tidak diletakkan di tempat yang betul menjadikan huruf tersebut berubah sifat. Karya pertama - titik ghain di pisahkan oleh alif menjadikan sifat ghain itu berubah menjadi 'ain. Manakala dalam karya ke 2, titik Fa telah diletakkan di atas Ro menjadikan sifat Ro bertukar kepada Zai. Begitu juga titik ghain telah diletakkan di sampingnya menjadikan pandangan pertama seolah2 huruf Ain Nun Ta.

Jadi, kesimpulannya saya ingin berkongsi apa yang saya perolehi dari kajian2 saya agar penulisan khat kufi segi 4 berada pada landasan yang betul. Natijahnya adalah apabila kita faham khat ini, kita akan dapat menilai sesuatu karya itu samada betul atau silap dan sekiranya sesuatu kesilapan itu dikesan, terutamanya pada ayat2 quran/hadis , adalah wajib bagi kita untuk menegurnya . Setidak2nya itulah sumbangan kita dalam menjaga kesucian Quran dan hadis.

Manakala bagi pengkarya kufi, saya harapkan apa yang saya paparkan di blog ini dapat sama2 dimanafaatkan. Dan sekiranya penemuan saya itu salah pada penilaian tuan2, saya amat terbuka untuk menerima hujah akademik.

Semoga bermanafaat.




No comments:

Post a Comment